1.31.2010

Mufti Lancar Perang Terhadap Pengamal Ilmu Sihir

Rabu, 16 Disember 2009 | Ruangan: Berita
SHAH ALAM, 16 Dis - Jabatan Mufti Selangor dan Professional Islamic Support and Nature Group menggesa agensi perundangan agama Islam Persekutuan mengambil tindakan tegas ke atas pengamal-pengamal sihir.

Mufti Selangor Datuk Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid berkata satu usul akan diserahkan ke Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Selangor dan Mesyuarat Muzakarah Fatwa Kebangsaan menggesa satu enakmen perundangan baru diperkenalkan.

Ini bertujuan supaya kes-kes berkaitan amalan sihir dapat ditangani mengikut enakmen perundangan yang lebih jelas.

“Apabila telah dibincangkan dalam muzakarah pakar ini maka satu kertas yang lengkap akan dibawa dalam mesyuarat Jawatankuasa Fatwa.kemudian,oleh kerana ini adalah isu-isu nasional bukan isu setempat mestilah dibawa dalam mesyuarat muzakarah fatwa kebangsaan.Jadi dari mesyuarat kebangsaan ini menjadi kelazimannya akan dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja dan akhirnya barulah dibawa balik ke negeri untuk diwartakan.Setelah diwartakan barulah boleh dibuat penguasaan,” katanya.

Tamyes berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan muzakarah itu di Dewan Annex, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di sini pagi tadi.

Muzakarah bertajuk ‘Bentuk-bentuk Sihir Pengasih dan Metodologi Diagnosi’ ini disertai penceramah bebas, Datuk Dr Harun Din dan Ustaz Hanafi Abd Rahman yang bertindak sebagai pembentang kertas kerja.

Muzakarah kali ke enam itu dihadiri 140 cendiakawan Islam, pengamal undang-undang dan ahli akedemik dari insititusi pengajian tinggi tempatan.

“Merangkumi kepada sesiapa sahaja pengamal,kalau sekiranya ini telah dilaksanakan sebagaimana hukuman jenayah kita tidak memandang sama ada orang Islam ataupun tidak Islam asalkan dia sebagai rakyat yang patuh kepada undang-undang di negara kita,jadi dia kena terima dan menghormati apa yang telah ditetapkan pemerintah.Itu setelah sampai perlaksaan hukuman sebenar,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Harun turut mengesyorkan hukuman takzir dikenakan keatas pelaku sihir beragama Islam sekiranya undang-undang berkaitan perkara itu diperkenalkan.

“Takzir ialah hukuman yang kita berikan hak authority kepada kadi kepada hakim untuk menjatuhkan hukuman,kita bagi range diantaranya penjara sebagai contoh ,6 bulan,setahun, 6 tahun,buang daerah sebagai contoh ataupun sebat.Tapi saya nak syorkan dia bukan dengan denda kewangan,” katanya.

Kata Dr Harun, hukuman dalam bentuk denda kewangan tidak digalakkan kerana ia gagal menyedarkan pengamal dari kelompok berada atau berkedudukan tinggi.

“Jadi saya cadangkan ambillah takzir ini sebagai pengajaran,jika dia kaya macammana pun jika dia buat sihir dia kena masuk penjara atau sebat.Itu sebagainya caranya untuk mengelakkan buat sementara.Ssaya tidak cadangkan lagi dihukum bunuh,” katanya.

Reference
http://www.selangorkini.com.my/my/berita/8615