10.27.2009

Rehla Keluarga ke Daerah Kundasang, Ranau





Kg Sinisian tempat bermalam (homestay)



Gunung Kinabalu diwaktu Pagi



MasyaAllah , sabtu dan ahad baru-baru ini 24-25/11/09  terasa kepenatan dibuatnya apa tidaknya saya membawa keluarga bercuti di kundasang sambil mengikuti Program IT di TM Resort, menikmati udara kundasang yang segar dan sejuknya yang menyegarkan. Sekali-sekala baik juga, terasa mcm di Cameron Highland.

Lokasi bermalam kami sekeluarga di Kg. Sinisian (homestay), dengan harganya yang jauh lebih murah berbanding tempat penginapan yang lain. Harga semalam penginapan ialah RM60-RM120 semalam. Tertakluk dengan keluasan bilik yang diinginkan. Kelengkapan seperti dapur masak, tandas, tv , astro, air panas dan servis/ layanan mesra  oleh setiap pemilik-pemilik rumah di Kg Sinisian Kundasang, Ranau.

Bertepatan dengan program IT dan rehla kelurga, daerah kundasang telah mengadakan program Pesta Kobis yang diadakan setiap tahun, memandangkan kundasang adalah tempat utama pengeluar kobis di negeri sabah maka Pesta Kobis adalah program yang seringkali diadakan di daerah Kundasang pada setiap tahun. Disamping itu juga daerah Kundasang adalah destinasi pelancongan terbaik untuk dilawati selain daripada daerah-daerah lain yang terdapat di sabah. Sebut sahaja kundasang mereka-mereka yang telah pernah berkunjung kesini pasti mengetahuinya. Bukan itu sahaja, program yang serentak diadakan bertempat di pekan ranau jaraknya 20Km daripada Kundasang telah berlangsung Pesta Durian. Masyarakat yang berada di luar Ranau telah berkunjung beramai-ramai untuk tidak melepaskan peluang menikmati buah durian dengan harga yang sangat murah.Cuma saya dan keluarga tidak sempat untuk memiliki durian yang murah, ole-ole untuk dibawa balik ke rumah  tetap ada.

Keindahan Gunung Kinabalu di kundasang diwaktu pagi kelihatan menarik dan sejuk mata memandang pabila melihatnya apatah lagi dengan udarahnya yang nyaman membuatkan kita akan terasa tenag dengan kehebatan ciptaan Allah swt.



   Keindahan Daerah Kundasang diWaktu Matahari naik.

Lokasi terakhir saya bersama keluarga  di Kolam Air Panas, Poring. Ranau. Sesiapa yang ingin membawa keluarga saya mencadangkan Kundasang Ranau adalah tempat yang sesuai dan menenangkan dengan keindahan ciptaan Allah swt.


    Kolam Air Panas Poring, Ranau




10.18.2009

Umar Bin Abdul Aziz pemimpin Yang Adil Jadikan Contoh dalam Kehidupan

Umar Bin Abdul Aziz satu nama yang tidak asing bagi kita untuk mengenalinya, seorang khalifah yang adil amanah lagi adil dalam menarajuhi negara. Sifat-sifat pemimpin yang payah kita cari pada abad ini, kalau adapun sangat kecil bilangannya.

Seorang khalifah yang zuhud dan sangat merendah diri, sentiasa menangis apabila mendengarkan ayat-ayat suci al-quran. Terutama sekali ayat-ayat yang menerangkan tentang azab seksa neraka. Dia adalah khalifah yang mampu meletakkan neraca keadilan bagi sesiapa sahaja dikalangan rakyatnya, baik pada dirinya sendiri, keluarga, orang kaya amahupun miskin. Perjalanan  hidupnya dipenuhi dengan mutiara dan pengajaran yang sangat berguna kepada kita apatah lagi kepada pemimpin-pemimpin islam pada hari ini.

Apabila kita mengahayti kehidupan insan ini, kita akan menitiskan air mata kerana sifat akhlaknya yang tinggi, mewarisi sifat moyangnya Saidina Umar Al-Khatab khalifah arRasyidin yang ke dua. Kita sangat-sangat dahagakan pemimpin seperti ini untuk mentadbir dunia yang pada hari ini dipenuhi dengan pemimpin-pemimpin yang zalim, memakan harta rakyat, melakukan pembunuhan dan pelbagai lagi sifat-sifat yang menyerupai sifat kebinatagan.

Pelantikan Umar Bin Abdul Aziz sebagai khalifah patut dicontohi oleh semua kita yang begelar pemimpin, samada pemimpin kelurga, pemimpin negara, persatuan dan lain agar dijadikan teladan dan pengajaran yang berguna.

Saya tertarik dengan tulisan tangan Umar Bin Abdul Aziz kepada Imam hasan al-Basri dan Mathraf bin Abdullah Ibn asy-Syakir .
" Daripada hamba Allah, umar binAbdul Aziz, kepada Hasan bin Abil Hasan al-Basri dan Mathraf bin Abdullah Ibn asy-Syakir. Salamun 'alaik, Aku mengajak kamu berdua memuji Allah yang tiada tuhan selain Dia dan aku memohon kepadaNya supaya melimpahkan salam sejahtera dan selawat kepada Muhammad, hamba dan rasulNya. Amma ba'du. Aku wasiatkan kepada kamu berdua supaya bertaqwa kepada Allah. Orang yang mengatakannya sangat banyak dan orang yang mengamalkannya sangat sedikit.Jika datang suratku ini, nasihatilah aku dan jangan kamu anggap aku ini suci"

MsyaAllah sangat tinggi akhlaknya, sentiasa merendah diri walaupun begelar khalifah, payah untuk kita melihat pemimpin-pemimpin hari ini untuk merendahkan diri dan memuliakan ulama. Malahan, fatwa yang dikelurkan oleh ulama-ulama dianggap sebagai kata-kata yang tidak bernilai , tetapi apa yang kita lihat sifat merendah diri dan takutkan Allah dapat diterjemahkan didalam kepimpinan Umar bin Abdul Aziz .

Jawapan Imam Hasan al-Basri
" Salamun 'alaik. Sesungguhnya , aku mangajakmu memuji Allah yang tiada tuhan selain Dia. Amma ba'du. Sesungguhnya, dunia adalah rumah ketakutan, Adam A.S diturunkan ke dunia sebagai hukuman, orang yang memuliakan dunia, dia dihinakan, menjadi mulia orang yang menghinakannya, dan difakirkan orang yang mengumpulkannya. Di dunia, setiap hari ada pembunuhan. Wahai Amirul Mukminin, jadilah seperti orang yang mengubati lukanya. Sabarlah atas pedihnya ubat jika engkau takut akan panjang cubaan"

Jawapan Imam Mathraf
" Salamun 'alaik. ya Amirul mukminin, daripada Mathraf bin Abdullah, Sesungguhnya aku mengajakmu memuji kepada Allah yang tiada tuhan selain Dia. Amma ba'du. Jadilah rasa tenangmu bersama Allah dan perhatian penuhmu kepadaNya. Sesungguhnya, kaum yang merasa damai bersama Allah dalam bersendirian daripada beramai-ramai dengan jumlah yang banyak, mereka mematikan apa sahaja di dunia yang mereka khuatirkan akan mematikan hati mereka, mereka meninggalkan apa sahaja di dunia yang mereka khuatirkan akan mematikan hati mereka, mereka meninggalkan apa sahaja di dunia yang mereka ketahui bakal meninggalkan, mereka menjadi musuh terhadap apa yang diterima manusia dari dunia. Semoga Allah menjadikan kita semua bahagia daripada mereka kerana mereka sedikit jumlahnya di dunia. Wassalam"

Rujukan:Biografi Umar bin Abdul Aziz peribadi Zuhud penegak Keadilan{Abdullah Bin Abdul Hakam)

10.13.2009

Nikmat Keluarga Bahagia


Imam Al Qurthubi menjelaskan dalam tafsirnya "Al Jamiu li ahkamil Quran" bahawa ada 5 unsur kehidupan yang baik(Hayatan Tayyibah) iaitu:

1.REZEKI YANG HALAL
   Ramai orang yang memperolehi yang melimpah ruah tetapi hasil diperolehi daripada jalan yang tidak halal seperti mencuri, menipu,rasuah dan lalin-lain.Walaupun kehidupan yang dibina itu dipenuhi dengan kekayaan dan kemewahan dunia,tetapi dalam jiwanya masih timbul rasa gelisah,runsing kerana hasil rezekinya itu tidak ada keberkatan di sisi Allah Taala.

Perbezaan orang yang  memperolehi yang halal pula,hasil daripada titik peluh yang ikhlas semata-mata inginkan keberkatan  Allah Taala  maka kehidupannya akan merasakan ketenangan ,kedamaian dan ketenteraman jiwa. Setiap hasil yang diperolehi di dunia ini  ,baik atau buruk akan dipersoalkan  di hadapan Pengadilan Allah kelak.

2.  QANA'AH
Qana'ah itu bermaksud mengucapkan apa yang seadanya,terutama sekali berkenaan dengan rezki dan kehidupan. Dr. Yusuf Al Qhardhawi merumuskan  makna Qanaah itu dengan kalimat :
"Redha terhadap kurniaan Allah yang tidak ada kuasa bagi manusia mengubahnya"(Musylatul Faqri wa kaifa 'ala jahal Islam)hlmn 28. Seperti yang sedia maklum manusia mempunyai sifat dan tabiat yang tidak pernah puas dengan apa yang ada. Rasulullah  S.a.w pernah bersabda : "Seandainya manusia  mempunyai 2 lembah penuh dengan emas, maka dia akan menghendaki lembah yang ke3, dan  kalau sudah ada 3 lembah maka mengkehendaki   lembah yang  keempat.  Perasaan tidak puas itu tidak akan  berakhir sehingga jasadnya dimasukkan kedalam tanah(mati)".
     Sesungguhnya manusia yang tidak mempunyai sifat Qana'ah tidak akan merasa puas dengan apa yang ada. Tetapi orang yang qanaah akan merasakan rezki yang dikurniakan oleh Allah itu  pasti akan merasa nikmat walaupun sedikit.

3.  TAUFIQ
Dalam kehidupan dunia ini, seringkali apa yang direncanakan oleh Allah kepada  hambanya sesuai dengan apa yang diharapkan oleh hambanya.Kesesuaian  itu dinamakan taufiq.Maka apabila manusi sering menemukan  pengharapan dan keinginannya tercapai dan seumpamanya,maka ia salah satu kehidupan yang baik.Ia berhubungkait dengan hidayah dan menjelmalah taufiq.

4. BAHAGIA(Sa'adah)
 Bahagia  itu sesuatu yang umum untuk difahami, Ia berhubungkait dengan ketenangan  jiwa dan rohani. Definisi bahagia adalah berbeza bagi setiap orang. Ada yang beranggapan  bahagia  lebih  kepada material dan kemewahan, tetapi hakikat yang sebenarnya  lebih kepada ketenangan yang dipandu dengan petunjuk Allah S.W.T .

5. JANNAH(Syurga)
Setiap manusia  dibolehkan untuk mengecapi kehidupan  didunia,tetapi keutamaan manusia ialah  untuk  mencapai kehidupan yang baik di akhirat kelak. Kehidupan dunia ini harus dijadikan laluan untuk menuju kehidupan yang hakiki diakhirat iaitu Syurga.

Dapat disimpulkan bahawa untuk mengecapi kehidupan yang baik didunia ini harus mengambil kelima-lima unsur yang dijelaskan  oleh Imam al Qurthubi sebagai panduan untuk merealisasikan kehidupan yang nyata.

10.07.2009

Berhati-hati dan berwaspada dengan Tipu daya Iblis

Ketahuilah sesungguhnya tipu daya iblis itu sangat berbahaya kepada manusia. Iblis telah berjanji kepada Allah swt bagi menyesatkan manusia di muka bumi sehinggalah mereka yang termakan godaannya dan seterusnya menjadi pengikut ibils didalam neraka jahanam. Allah telah menghalau ibils daripada syurga setelah ia tidak mahu sujud kepada Adam kerana sifat sombong dan bongkak yang menganggap dirinya lebih baik penciptaanya daripada Nabi Adam as. Didalam al-Quran telah dijelaskan sifat ego ibilis dalam Al-A'raf , Ayat 12" Engkau ciptakan saya dari api dan Engkau ciptakan dia dari tanah". Oleh itu Allah telah memberi tempoh  dan masa penangguhan kepada  iblis sehinggalah satu masa yang ditetapkan baginya.

Sejak iblis dihalau keluar daripada syurga bermulalah permusuhan iblis kepada manusia, iblis bersumpah menghabiskan umurnya untuk merosakkan cucu anak keturunan Adam. Disebabkan itulah kita harus berwaspada terhadap tipu daya ibils la'natullah. dan Allah berfirman didalam al-Quran:

"Dan janganlah kamu mengikuti langkah-langah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu. Sesungguhnya syaitan itu hanya menyuruh kamu berbuat jahat dan keji, mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui" ( Al-Baqarah:168-169)

Saudara-saudaraku yang budiman, dengan janji iblis yang telah dibuat di hadapan Allah dalam menyesatkan manusia kecuali orang-orang yang Mukhlisin, iblis telah menyusun trategi yang mantap bagi mencapai keinginan dan kemahuannya supaya dapat membawa seramai mungkin manusia ke neraka jahanam. Dengan tercapai cita-citanya itu maka tidak sia-sialah apa yang selama ini yang ia inginkan. Maka iblis telah telah mempunyai anak yang telah diberikan tugas masing-masing dalam menjalankan misi penyesatan, lalu memberikan nama kepada mereka antaranya ialah Tsabr, A'war, Miswath, Dasim, dan Zaknabur kesemuanya  seramai lima tentera yang terlatih dalam mencapai impian iblis. Antara tugas-tugas yang dipikul kelima-lima anak iblis itu tidak mampu dihalang kecuali orang-orang yang ikhlas kepada Allah swt .

  1. Tsabr: tugasnya ialah membawa musibah yang diperintahkan untuk merosakkan manusia, menghampiri manusia disaat berduka cita, meratapkan kematian orang tersayang dan membuat pengakuan-pengakuan jahiliyah.
  2. A'war: Pembawa zina, menyeruh manusia melakukkan zina dan menganggap setiap perbuatan zina yang dilakukan adalah baik. tugas yang diberikan kepada A'war ini adalah tugas yang cukup ramai orang tergelincir dalam mengharungi kehidupan di dunia ini. Waspadalah kita kepada parasit ini agar kita tidak tergelincir dari godaanya.
  3. Miswath: Membawa dusta, cukup ramai disekeliling kita manusia yang termakan godaan dan tipu daya anak iblis yang bernama Miswath ini. Harus diingat  terhadap anak-anak kita yang masih kecil agar kita mendidik mereka supaya menjauhi kata-kata bohong dan dusta.
  4. Dasim.Tugasnya menyusup kedalam diri seseorang yang sedang marah. Apabila seseorang yang tidak dapat mengawal marahnya maka  ibilis inilah yang akan menguasai keseluruhan emosi kita dan akhirnya terjadilah pergaduhan, pembunuhan dan sebagainya.
  5. Zaknabur: Dia akan menjadikan pasar sebagai perangkap untuk melakukan perniagaan yang tidak adil dalam jual beli, mengurangkan timbangan, menjual barang-barang yang tidak baik dan lain-lain lagi aktiviti yang merosakkan manusia. Berhati-hatilah kita , kelak kita akan dihitung dihadapan pengadilan Allah setiap perkara yang dibuat ketika di dunia.
Memang godaan dan tipu daya ibils tidak akan berhenti walau sesaat, setiap masa tidak akan disia-siakan bagi mencapai hasrat dan cita-citanya untuk menyesatkan manusia. Jangan kita lalai dan leka daripada  kejahatan iblis, sesungguhnya iblis tidak akan memberikan kita ruang untuk duduk senang di dunia ini pasti ada sahaja jalan yang bocor akan ditembusi baginya untuk menguasai diri kita.

"Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagi kamu, maka anggaplah ia musuh kamu , kerana sesungguhnya syaitan-syaitan itu hanya mengajak golongannya supaya mereka menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala" (Fathir: ayat 6)

Mantapkanlah iman kita kepada Allah dan sentiasa memohon perlindungan daripadaNya. Perlindungan yang kukuh dan tegap itu hanyalah dari Allah yang maha berkuasa keatas setiap makhlukNya Kebergantungan manusia dan Jin selayaknya hanya kepada Allah swt.

10.02.2009

DIARI AZAM 02-Azam Musafir

Alhamdullilah, dengan masa yang terluang dapat juga saya menulis semula selepas balik daripada KL pada 20/09/2009 hari raya pertama, hampir 2 bulan saya berkampung di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bersama isteri dan anak saya mohd Azam. Ini adalah kali yang ke2 saya membawa Azam pada 10/08/2009 dan sebelum ini pada bulan 5 yang lalu saya membuat rawatan susulan akibat masalah usus besar dan yang terbaru penafasannya yang tidak stabil.

Ketika 7 bulan, Azam telah cirit-birit berterusan  sehinggalah umurnya mencecah 2 tahun lebih.  Dr Pakar di hospital Likas tidak menemukan apakah punca keadaan azam dan  mensyorkan kepada kami untuk mencuba dapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya dengan Pakar Usus disana. Alhamdulillah dengan cadangan itu kami tidak memikir panjang terus membuat keputusan bersama isteri untuk membawa Azam mendapatkan rawatan di PPUM KL.

Pengalaman menjaga azam ketika sakit berpanjangan,setiap hari pampers terpaksa ditukar sebanyak 7 hingga 10 kali kerana sentiasa mengeluarkan najis dan dibahagian punggungnya mengalami kemerah-merahan adakalanya berdarah, sehinggalah umur azam masuk 2 tahun 1 bulan setelah rawatan daripada PPUM ,tiba-tiba  cirit birit  beransur pulih.

Sebelum 2 minggu hendak bertolak ke PPUM ada seorang sahabat saya Hj Mohd Zin meminta saya cuba minumkan air Gamat Asli kerana katanya banyak kenalan dan pelanggannya sembuh dengan izin Allah setelah meminum Gamat Asli.Harganya tidaklah mahal mana cuma RM20.90(60ML). Saya telah meminumkan 2 botol Air gamat selama 1 bulan 2 minggu Alhamdulillah dengan izin Allah Azam sembuh daripada cirit-birit Azam juga bersih tanpa meninggalkan bekas-bekas luka sebelum ini. Itulah kekuasaanya Allah yang Maha Penyembuh. Bukan sahaja saya bahkan Salah satu contoh dan kekuasaan Allah yang  pernah dialami sahabat saya hj Mohd Zin  ketika isterinya mengalami penyakit jantung berlubang. Isteri beliau pernah dimasukkan kedalam  wad SMC Damai selama sebulan kerana penyakit yang dialami oleh isterinya sehinggahkan Dr membuat keputusan untuk melakukan pembedahan. Dr telah memaklumkan kepada Hj Mohd Zin pembedahan yang akan dilakukan ini akan mengambil risiko sama ada hidup atau mati (50-50) . Hj Mohd Zin mengambil keputusan untuk membatalkan pembedahan tersebut dan mengeluarkan isterinya daripada wad, sehinggalah dia berjumpa dengan sahabatnya daripada perlis yang merupakan pengeluar produk Gamat asli dan beliau mencadangkan untuk mencubanya, tanpa rasa putus asa beliau berusaha dan yakin kepada Allah yang Maha Penyembuh. Dengan keyakinan beliau kepada hadis Nabi SAW, "Dari 'Atha, dari Abu hurairah bahawa berkata Rasulullah SAW bersabda"
 TIDAKLAH ALLAH MENURUNKAN PENYAKIT, MELAINKAN DIA MENURUNKAN OBATNYA"
(Shahih Al-Bukhari&Muslim).

Alhamdulillah setelah mengamalkan minum Gamat Asli tersebut hj Mohd Zin datang semula ke SMC untuk membuat scan dan rawatan susulan, Masyaallah, dengan kekuasaan Allah jantung berlubang yang dialami oleh isteri beliau sembuh dengan izin Allah. Dr terkejut dengan kejadian yang luar biasa, yang tidak boleh diterima oleh akal  manusia mustahil untuk sembuh. Tetapi itulah tanda kekuasaan Allah yang tidak mampu untuk dicapai oleh makhluknya. Tujuan saya  mendedahkan pengalaman yang dialami oleh saya dan Hj Mohd Zin ini adalah supaya kita sentiasa mengharapkan kebergantungan kepada Allah swt yang menyembuhkan, atas usaha dan ikhtiar kecil kita Air Gamat tersebut adalah sebagai asbab sahaja untuk ia sembuh.Allah jualah yang menyembuhkan segala penyakit.

InsyaAllah setiap penyakit pasti ada obatnya, yang penting kita yakin kepada Allah DiaLah yang Maha penyembuh dari segala penyakit. Hasil daripada penyakit yang menimpa akan menambahkan ketaqwaan kita kepada Allah swt.

Syukur kehadrat Allah yang memudahkan saya dan isteri dalam meghadapi ujian yang kecil ini. Sebagai satu latihan kepada diri untuk tabah menghadapi ujian Allah Ta'ala. Ujian yang saya lalui ini mungkin tidak seberapa, mungkin diluar sana ada lagi yang lebih besar ujian yang ditempuhi daripada saya. Sepanjang berada disana banyak pengalaman yang boleh diambil dan keterluangan masa yang banyak bersama isteri dan anak. Sebelum ini saya beberapa kali mengikuti Program Ziarah Hospital, aktiviti yang di buat oleh Yayasan Amal M'sia cwgn Sabah tetapi buat kali ini saya yang duduk dan tidur dalam wad bersama-sama dengan pesakit-pesakit yang lain di PPUM. Saya menganggap ini ziarah yang lama bagi saya dalam melaksanakan aktiviti amal.  Aktiviti-aktiviti Yayasan Amal seperti ini wajib diteruskan dari masa-kesemasa agar mendidik hati kita supaya menyayangi waktu sihat yang Allah kurniakan kepada kita, sebelum kita diziarahi oleh orang lain. Kecapilah masa sihat dengan berbakti kepada Allah swt.

Pada kali ke 2 rawatan  ini, azam terpaksa menggunakan bantuan oxsigen ketika setiap kali hendak tidur, dan bukan itu sahaja saya dan isteri kena mengeluarkan kahak azam dengan menggunakan mesin yang dibeli sendiri. Aktiviti ini mesti dilakukan setiap hari pada siang hari sekali dan malam sekali bagi memudahkan azam untuk minum susu. MasyaAllah mencabar juga dibuatnya, itulah tugas yang perlu dipikul daripada seorang ayah dan ibu. Serba sedikit ilmu yang dipelajari daripada PPUM dapat dipraktikkan di rumah bersama isteri dan mungkin juga sahabat handai yang memerlukan pertolongan, InsyaAllah kami sedia membantu.

Buat kali ini, cukup setakat ini sahaja coretan pengalaman saya yang mungkin berguna dan bermanfaat kepada semua. InsyaAllah diruangan yang lain jika diberikan kesempatan masa dan ruang mungkin saya akan berkongsi bahan-bahan yang tidak sempat  saya ceritakan didalam ruangan ini.

Terima kasih, kepada keluarga saya, keluarga sebelah isteri dan sahabat-sahabat yang membantu dari sudut kewangan dan doa yang yang dipanjatkan ke hadrat Allah. Hanya Allah sahaja yang dapat membalasnya akhirat kelak.