3.22.2010

Baja Organik Fasa -2

Bismillah...syukur ke hadhrat Ilahi kerana dengan taufiq dan hidayahnya Yayasan Amal Malaysia Cawagan Sabah telah menjayakan program kemasyarakat di daerah Pitas,Sabah. Program Penanaman sayur Organik Fasa-2 dengan menggunakan baja Organik Kompus dapat dilaksanakan di Kg. Rokum Pitas, Sabah pada 06/02/2010 . Walaupun saya terlewat menulis berkenaan dengan aktiviti tersebut di dalam blog ini kerana disebabkan kesibukan yang tidak dapat dielakkan, walau bagaimanapun ianya terlaksana juga akhirnnya, alhamdulillah.

Aktiviti tersebut yang diketuai oleh Setiusaha Yayasan Amal M'sia Cawangan Sabah, saya sendiri selaku Pengarah Program dan sahabat-sahabat Yayasan Amal  Pitas bersama-sama penduduk Kg Rokum telah bergotong-royong dalam menjayakan aktiviti tersebut dengan jayanya.

Program Penanaman Sayur Organik Fasa -3  InsyaAllah akan diadakan pada tahun ini juga, cumanya tarikh dan masa masih belum ditentukan. Program sebegini baik untuk penduduk kampung dan masyarakat amnya disamping pendedahan tentang kebaikan Sayur Organik dan  memandangkan potensi Sayur Organik juga sangat tinggi untuk di komersilkan jika ianya diusahakan dengan bersungguh-sungguh. Ini kerana, Sayur-sayuran yang terdapat di pasar-pasar bukanlah baik untuk kesihatan manusia itu sendiri, disebabkan  sayur tersebut dihasilkan dengan menggunakan baja kimia. Bahan-bahan yang digunakan untuk menghasilkan Sayur Organik adalah bahan  semulajadi dan tidak menggunakan baja kimia yang ada pada hari ini.

Penggunaan baja kimia akan menghasilkan kualiti sayur yang tidak segar, tidak  baik untuk kesihatan tubuh badan, dan bukan itu sahaja malahan setiap organisma-organisma dalam tanah akan mati hasil daripada penggunaan baja kimia. Oleh sebab itulah Yayasan Amal M'sia Cawangn Sabah mengambil langkah yang proaktiv bagi melaksanakan aktiviti-aktiviti sebegini dalam menyedarkan masyarakat keburukan dalam penggunaan  baja kimia dan pengambilan sayur-sayuran yang menggunakan kaedah penanaman baja kimia.



Penduduk Kg Rokum Pitas, sabah bergotong-royong penyiapkan jaring  penghadang matahari.





Semoga dengan program sedemikian dapat membuka mata masyarakat kepentingan  dan manfaat yang besar didalam pengambilan sayur-sayuran yang di tanam dengan menggunakan kaedah baja Organik. Bukan itu sahaja kalau kita melihat dari sudut  kesihatan ianya juga dapat membantu kita mengurangkan resiko penyakit. Pada hari ini pelbagai penyakit yang terjadi sebilangan besarnya berpunca daripada pengambilan makanan yang tidak sihat. Bahkan dengan usaha kecil Yayasan Amal ini dapat diikuti dan di contohi oleh badan-badan NGO yang lain. InsyaAllah

3.15.2010

Artikel Berkaitan Sihir - 3

terimaseadanya.blogspot.com


Proses Membuktikan Amalan Sihir Mesti Jelas
- Mohamad Isa Abd Ralip

Posted on December 24th, 2009 in Syariah

Hakim perlu bantuan pakar, saksi sebelum putuskan hukuman ke atas pengamal ilmu hitam

AMALAN sihir dalam melakukan kegiatan jenayah dilihat semakin meruncing dalam masyarakat masa kini dan seterusnya membuka mata banyak pihak betapa serius perkara ini dan memerlukan penyelesaian segera. Penggunaan istilah sihir dalam alam Melayu kebiasaannya merujuk kepada ilmu hitam.

Sihir yang diamalkan dikategorikan kepada beberapa bahagian iaitu bagi tujuan melindung diri, mendapatkan kelebihan, mengawal dan memusnahkan musuh serta meramal masa hadapan. Sihir yang diamalkan boleh dikelaskan menurut beberapa kelompok seperti saka yang menggunakan jin atau syaitan (kadam, toyol, roh orang mati, hantu), azimat dan menggunakan jampi serapah.

Malah amalan sihir ini turut berlaku di dalam perbicaraan kes kekeluargaan di Mahkamah Syariah dan kesannya sihir boleh menghasilkan natijah luar biasa, menarik, mengelirukan dan kadangkala berupaya mengatasi masalah manusia selepas pelbagai ikhtiar dilakukan. Amalan sihir ini terus diamalkan secara tersembunyi atau terang-terangan seolah-olah ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam, apatah lagi usaha untuk menghalangnya seumpama tidak wujud dan jelas.

Amalan itu berleluasa kerana tiada undang-undang yang diperuntukkan bagi mengekang masalah ini seterusnya tiada sebarang tindakan boleh dikenakan terhadap orang yang menggunakan sihir dan pengamalnya. Oleh itu, cadangan yang dikemukakan pada `Muzakarah Pakar: Bentuk Sihir Pengasih dan Metodologi Diagnosis anjuran Jabatan Mufti Selangor, baru-baru adalah sesuatu yang boleh diterima dan diperhalusi. Namun begitu, kajian menyeluruh dengan pakar dalam bidang ini amatlah dialu-alukan bagi mendapatkan penyelesaian yang sewajarnya.


Penggubalan undang-undang berkaitan sihir ini adalah suatu yang mendatangkan kebaikan kerana ia dapat mengekang amalan sihir ini daripada berterusan dan digunakan sewenang-wenangnya dalam masyarakat.


Namun begitu, apa yang menjadi persoalan sekarang ialah bagaimana melalui peruntukan undang-undang ini dapat membuktikan ama lan sihir itu berlaku sedangkan amalan sihir adalah suatu yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan bersifat abstrak. Dalam hal ini, pandangan pakar amatlah perlu bagi membantu hakim dalam membuat keputusan.


Firman Allah maksudnya, “Oleh itu, bertanyalah kepada orang-orang yang berpengetahuan jika kamu tidak mengetahuinya” (Al-Nahl:42).


Ayat itu menyarankan kepada kita agar bertanya kepada orang yang mengetahuinya. Inilah yang dikatakan meminta pendapat “ra’yu al-khabir” di dalam prinsip Undang-undang Keterangan Islam.


Persoalan lain pula akan timbul iaitu siapakah pakar-pakar berkenaan? Siapa yang akan menentukan bahawa mereka adalah pakar? Adakah wujud badan yang pakar dalam hal itu?


Antara kes yang boleh dirujuk adalah kes Mustafa Batcha lwn Habeba Abd Rahman di dalam kes cerai talak tiga yang mana perayu mendakwa bahawa beliau pada ketika itu tidak tahu apa yang dilakukannya kerana terkena sihir, ada barang sihir dan hanya sihat setelah mendapat rawatan daripada dukun.


Ia perbuatan yang dikeji di dalam hukum Islam. Perayu menyatakan bahawa selepas beliau ke kantin di sebuah kilang, fikirannya tidak tenteram, selalu bergaduh dan marah pada isterinya, timbul rasa benci dan memukul isterinya dan beliau sendiri tidak mengetahuinya. Dalam pada itu, perayu dengan tidak sedar diri telah membuat aduan kepada pihak berkenaan untuk menceraikan isterinya. Perayu mendapati bungkusan kain putih di dalam kantin itu dan beliau berusaha berubat cara kampung. Menurut orang yang mengubatinya (dukun), beliau terkena sihir kerana berjaya mendapatkan kantin itu.


Berdasarkan rekod perbicaraan, hakim memutuskan hukumannya berdasarkan kepada ikrar yang dibuat oleh perayu yang ia sudah menceraikan isterinya dengan talak tiga. Walaupun ikrar adalah salah satu cara pembuktian yang terkuat dalam hukum syarak tetapi sebelum ikrar itu diterima ia hendaklah dipastikan ia dilakukan secara mutlak tanpa syarat, ikatan atau kait mengait dengan perkara lain. Jika ia dikaitkan dengan perkara lain dan tidak mutlak sebagaimana ulama berpendapat bahawa ikrar itu tidak sah.


Kes di atas adalah antara contoh kes kekeluargaan yang membabitkan sihir yang dilaporkan. Situasi sebenar yang dapat kita lihat di dalam kes amalan sihir adalah rumit dan memerlukan penelitian yang khusus terutama daripada hakim yang akan membuat keputusan memandangkan tiada peruntukan undang-undang yang khusus bagi menangani masalah yang membabitkan sihir.


Saranan paling tepat adalah kes itu didengar dan dibicarakan sewajarnya dengan memanggil saksi untuk memberikan keterangan, pendapat “ra’yu al-khabir” sama ada benar atau tidak sihir digunakan dengan membincangkan latar belakang, suasana dan keadaan kes yang diikrarkan.


Peruntukan undang-undang berkaitan sihir ini perlu diwujudkan di dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah bagi mengekang masalah ini daripada terus berleluasa. Sekiranya tiada peruntukan undang-undang berkenaan, ia akan membolehkan individu, bomoh atau penjenayah yang mengamalkan ilmu sihir dan melakukan jenayah serta menganiayai orang lain terlepas daripada hukuman kerana tiada peruntukan undang-undang.


Perjumpaan antara pengamal undang-undang, ahli agama, ahli akademik dan badan tertentu penting bagi membincangkan penyelesaian kepada masalah ini seterusnya boleh diusul dan dibahaskan dengan terperinci pada peringkat Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan kerana membabitkan isu nasional dan akidah umat Islam.


Peguam Syarie Menulis

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Agama/20091222234832

3.12.2010

RENUNGAN BUAT KITA BERSAMA..

   
     Setiap kejadian yang ada di muka bumi ini menunjukkan tanda kebesaran dan keagungan Allah s.w.t. Penciptaan yang terbentuk sama ada di langit mahupun di bumi, daratan dan lautan memantapkan lagi I'tikad kita kepada Allah kerana yang berhak di sembah hanyalah Allah s.w.t























Allah s.w.t berfirman:
"Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah adalah orang yang paling bertaqwa" (Al-hujurat:13)







Semoga kita manjadi hamba Allah yang sentiasa mensyukuri nikmat pemberianya, kerana penciptaan setiap manusia ke dunia ini adalah ketentuan daripada Allah s.w.t. .

3.09.2010

Tarbiahlah Anak Mu Dengan Acuan Islam..

Bismillah..Alhamdulillah puji-pujian dipanjatkan bagi Allah s.w.t yang menciptakan siang dan malam tanpa ada keberatan bagiNya walaupun sedikit. Selawat dan salam buat junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w serta keluarga baginda dan para sahabat baginda..

Terlalu lama saya tidak menulis dalam blog ini disebabkan kesibukan yang tidak henti-henti untuk dikejer, pasti kesibukan tidak akan berhenti selagi kita masih diberi masa oleh yang Maha pencipta menikmati nikmat kehidupan sebagai seorang manusia. Diri kitalah yang menilai sejauh mana kita gunakan kehidupan ini agar ia dapat memberikan pulangan yang baik dihadapan pengadilan Allah s.w.t.

Begitu cepat masa berlalu meninggalkan kita, yang tua tidak akan muda kembali, yang pergi bertemu Ilahi tidak mungkin kembali lagi dan yang hidup harus bersedia untuk menerima panggilan Izrail.Semoga hidup kita dimanfaatkan sehabis baik dengan perbuatan amal soleh, anggaplah seminit itu sangat bernilai bagi yang menghargahinya. Seorang penyair ada mengatakan " Masa lalu sudah berlalu dan masa depan masih suram, sekarang adalah milikmu dan janganlah kamu sia-siakan"

Tahun 1431H/2010 harus kita rebut peluang ini dalam mendekat diri kepada Allah s.w.t untuk persediaan kita di hari kemudian. Bagi seorang yang begelar Ayah dan Ibu kewajipan yang harus ditunikannya ialah mendidik anak-anak agar menjadi anak yang soleh serta mentaati ajaran Islam dengan sebaik mungkin.

Tanggungjawab yang diamanahkan bukanlah sesuatu yang mudah untuk dipikul bagi seorang Ayah dan Ibu agar memastikan anak-anak yang lahir ke dunia mendapat dididikan dan tarbiyah yang sempurna. Panduan yang teragung lagi terbaik ialah Al-Quran al-Karim dan acuan yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. melalui hadis-hadis baginda adalah sebaik-baik panduan untuk diikuti.

Firman Allah s.w.t
"Wahai orang-orang yang beriman, jagalah dirimu dan ahli keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, panjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkaNya kpd mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan."
(Ayat;At-Tahrim 6).

Masa hadapan masih tidak mampu untuk kita ramalkan tetapi kita harus mengatur strategi yang disusun atur dengan baik dalam memberikan penumpuan bagi melahirkan anak-anak kita dididik di bawah panji-panji kalimah Tahuid dan sunnah Rasulullah s.a.w . Kita mahu melahirkan kembali genarasi anak-anak yang mujahid dan mujahidah, bertaqwa, berdisiplin, berakhlak mulia, berjiwa kental, semangat yang kuat dan mempunyai daya tahan yang tinggi.

InsyaAllah anak-anak kita mampu untuk menjadi insan yang dapat menguasi kecanggihan dan teknologi yang ada pada hari ini bahkan dapat menguasai bidang-bidang yang lain untuk dimanfaatkan oleh semua manusia khususnya di tanah air kita Malaysia dan Amnya dunia.

Saya ingin kongsikan kisah Hasan Al-Basri untuk motivasi diri sebagai seorang Ayah dan Ibu. Niat yang ikhlas, semangat yang utuh dalam memberikan pentarbiyahan yang sempurna kepada anak-anak supayah genarasi akan datang dapat menjadi genarasi yang mampu megembalikan kembali kegemilangan Islam.

Peristiwa berlaku semasa di Basrah Sayidina Ali r.a telah berpeluang mendegar majlis ilmu yang disampaikanoleh seorang budak lelaki kecil.Majlis itu dipenuhi oleh orang ramai. Selepas tamat majlis itu Sayidina Ali memanggil orang muda tadi laluberkata "Wahai budak, engkau telah berkata dan engkau sungguh pandai dalam berkata-kata dan engkau seorang fasih, dan engkau menepati (kebenaran). Aku akan tanya kamu 2 soalan, yang pertama apakah tiang agama?" Jawabnya "Wara"." Sayidina Ali bertanya lagi soalan ke 2, apa dia perosak pada agama?." Jawabnya:"Tamak." Sayidina Ali seterusnya berkata." Teruskanlah wahai budak, sesungguhnya engkau adalah sebaik-baik orang yang aku lihat."

Budak kecil itu ialah Hasan Al-Basri. Budak kecil ini sampai ke peringkat ilmunya yang tinggi disebabkan pendidikan yang di laluinya di masjid, kerana kepimpinan dan ilmu itu diperolehi di masjid.

3.06.2010

Artikel Berkaitan Sihir - 2

Undang-undang, Mahkamah dan Amalan Sihir

- Mahyuddin Ismail
Posted on January 24th, 2010 in Syariah
* Asalnya penulisan ini ialah komen yang ditulis oleh Sdr. Mahyuddin Ismail. Saya rasa ianya elok dikongsi bersama dan diberikan lebih perhatian.

Desakan agar diwujudkan undang-undang jenayah sihir sebagaimana yang disepakati dalam Muzakarah Pakar: Bentuk Sihir Pengasih dan Metodologi Diagnosis, anjuran Jabatan Mufti Selangor pada 17 Disember 2009 telah memberi satu isyarat kepada pihak berkuasa betapa perlunya kegiatan jenayah sihir ditangani melalui mekanisma perundangan. Perkara ini telah mendapat respon yang positif dari orang ramai dan kebanyakkannya bersetuju dengan cadangan tersebut. Namun, adakah jenayah sihir hanya berleluasa di kurun ke 20 ini dan adakah usaha untuk mewujudkan undang-undang sebegini merupakan satu perkara yang baharu?


Ilmu sihir adalah antara ilmu tertua yang diamalkan di dunia dan ia telah mula wujud sekitar 5000 tahun sebelum Masihi dan masih diamalkan secara meluas pada hari ini. Dalam tamadun Mesopotamia, pengaruh ilmu sihir tersebar luas dalam kehidupan masyarakat termasuk para pemerintah serta keluarga diraja. Menurut Walter Farber dalam Witchcraft, Magic and Divination in Ancient Mesopotamia, amalan sihir pada ketika itu dipelopori oleh golongan bangsawan yang digelar āšipu. Menurut sarjana Islam pula, ilmu sihir yang diamalkan di zaman tersebut adalah berdasarkan pergerakan bintang dan planet (dikenali sebagai sihir Bani Kaldan) dan ianya antara kategori sihir yang hebat dan kuat. Mereka mempunyai kebolehan untuk mengubah manusia menjadi haiwan seperti keldai atau anjing dan terbang di udara dengan menunggang batang penyapu. Menyedari kesan negatif yang ditimbulkan melalui amalan sihir, maka Raja Hammurabi (1810-1750) menetapkan prosedur dan hukuman ke atas seseorang yang menuduh seseorang yang lain mengamalkan ilmu sihir. Undang-undang tersebut boleh dilihat tercatat dalam peraturan No. 2, Kod Hammurabi yang dipamerkan di Muzium Louvre, Paris.


Tamadun Mesir Kuno pula dianggap sebagai tempat berasalnya segala ilmu yang ghaib yang ganjil. Pengaruh sihir dalam tamadun ini adalah sangat meluas meliputi bidang perubatan hinggalah kepada pemerintahan. Catatan sejarah juga menyatakan bahawa hampir kesemua penduduk Mesir ketika itu memakai tangkal dan azimat. Pemerintah dan penguasa kerajaan juga turut menggunakan dan mengamalkan ilmu sihir bagi mengekalkan dan mengukuhkan kedudukan mereka. Antaranya ialah Niktanibas, seorang raja dan tukang sihir yang sangat kejam, yang memerintah Mesir hingga tahun 358 sebelum Masihi. Memandangkan pemerintah dan raja-raja turut terlibat dalam amalan sihir, maka pelaksanaan undang-undang untuk membanteras kegiatan sihir merupakan satu perkara yang mustahil. Justeru itu, pengutusan Nabi Musa a.s. yang dilengkapi dengan beberapa mukjizat adalah cara paling berkesan untuk menghadapi dan mengatasi kejahatan ilmu sihir yang bermaharajalela ketika itu.


Pencapaian bidang perubatan dalam tamadun Mesir yang banyak menggunakan unsur-unsur sihir turut mempengaruhi kaedah perubatan tamadun Yunani. dikatakan bahawa tukang-tukang sihir pada zaman tersebut mampu menyeru roh-roh orang yang sudah mati untuk menimbulkan permusuhan dan kekacauan dalam masyarakat. Ketika pemerintahan Julius Caesar, beliau telah memperkenalkan The Twelve Tables yang memperuntukan: “That it to be decided that persons who are addicted to the art of magic shall suffer extreme punishment. Magicians themselves shall be burned alive.” Undang-undang ini dikuatkuasakan secara berterusan pada zaman empayar Byzantin dan keseluruhan Eropah sehingga akhir kurun ke 17. Selain itu, undang-undang tersebut juga menetapkan hukuman bagi sesiapa yang menyanyikan lagu-lagu berunsur pemujaan yang dikenali sebagai malum Carmen incantare dan mereka yang cuba untuk mencuri hasil tuaian menerusi jampi mantera.


Sihir dalam tamadun Parsi juga tersebar dan mendapat tempat dikalangan rakyat dan pemerintah. Dikatakan bahawa panglima tentera Parsi bernama Rastam pernah melihat bintang bagi menilik nasib bala tenteranya ketika berhadapan dengan tentera Islam dalam peperangan Qadisiah. Dari tilikannya, dia mendapat alamat bahawa mereka akan kalah, lalu dia mengambil keputusan untuk menamatkan pertempurannya. Begitu juga dengan bendera dan panji yang dibawa ketika berperang. Dikatakan bahawa ianya mengandungi rajah-rajah tertentu yang dicacah dengan emas yang ada kaitan dengan simbol sihir. Dalam peperangan Qadisiah, bendera tersebut telah dikoyakkan dan Rastam sendiri telah mati dibunuh. Pengaruh agama Kristian dan juga Islam yang datang selepas itu sedikit sebanyak dapat membasmi kegiatan tukang sihir.


Di benua Asia, ilmu sihir dikatakan tersebar melalui negara China dan India. Menurut Donald Harper, pemerintah Dinasti Han seperti Lin Ch’e (140-87 SM) telah menjadikan istananya sebagai tempat berkumpulnya ahli sihir. semasa era Dinasti Yuan (Mongol) pula, pihak pemerintah telah menetapkan hukuman kelar hidup-hidup ke atas tukang-tukang sihir yang membunuh kanak-kanak bagi mendapatkan hati dan limpa untuk tujuan pemujaan roh. Hingga hari ini, China masih lagi mengekalkan beberapa peruntukan undang-undang jenayah yang mempunyai kaitan dengan amalan sihir. Antaranya ialah Perkara 165 Undang-undang Jenayah Republik China yang menetapkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun bagi tukang sihir yang mengamalkan sihirnya bagi tujuan mendapatkan harta secara tipuan.


Islam pula mengakui kewujudan ilmu sihir tetapi melarang penganutnya dari terlibat di dalam amalannya dan ia dikategori sebagai salah satu dosa besar. Di dalam Al-Qur’an, perkara tentang sihir kebanyakannya disebut melalui paparan kisah-kisah yang terjadi pada zaman Nabi-nabi sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW. Bahkan terdapat juga hadis yang mengisahkan kejadian Nabi Muhammad SAW disihir oleh seorang Yahudi bernama Labid bin al A’sam. Islam juga menetapkan hukuman ke atas pengamal-pengamal sihir. Ini boleh dilihat melalui satu athar yang diriwayatkan oleh Bujalah r.a. bahawa pada zaman Saidina Umar, beliau telah menetapkan bahawa hukuman bagi ahli tukang sihir ialah mati. Majoriti ulama Islam menetapkan hukuman bunuh terhadap tukang sihir.


Apabila Empayar Rom telah jatuh, maka Barat mula dilanda zaman gelap. Pada masa itu, ilmu sihir tersebar luas di eropah dan ianya sukar untuk dibendung. Menurut Martin Luther, amalan sihir pada zaman itu adalah satu perkara yang lumrah. Pihak gereja mengambil pendekatan mengawal kegiatan sihir dari sudut keagamaan. Ayat-ayat dalam Injil seperti Deuteronomi 18:11-12, Exodus 22:18, Leviticus, 20:27, Galatians 5:20, Revelation 21:8; 22:15; dan Acts 8:9; 13:6 menjadi justifikasi suci kepada para penganut Kristian untuk menghapuskan kegiatan sihir dan pengamalnya. Ramai raja dan pemerintah ketika itu turut membantah penggunaan sihir dalam masyarakat. Pada tahun 1326, Pope John XXII telah mengisytiharkan perang terhadap tukang sihir dalam usahanya untuk membanteras penggunaan sihir. Antara undang-undang yang pernah digunapakai semasa zaman Pertengahan Eropah ialah Kod Visigoth. Pada masa itu, ilmu sihir dilabelkan sebagai satu bentuk ajaran sesat, dan memperuntukkan bahawa pengamal sihir itu akan dibakar dipancang. Kegiatan membanteras amalan sihir dan pengamalnya semakin memuncak apabila buku Malleus Maleficarum atau lebih dikenali di Barat sebagai The Hammer of Witches telah diterbitkan pada tahun 1487. Pada tahun 1563, undang-undang yang diperkenalkan semasa awal pemerintahan Elizabeth I memperuntukkan bahawa sesiapa sahaja yang menggunakan, mengamalkan atau melaksanakan apa-apa sahaja penyihiran atau penangkalan yang menyebabkan kematian atau kemusnahan kepada seseorang, maka dia dikira bersalah melakukan satu jenayah besar (felony) dan akan dihukum mati. Undang-undang ini telah diluaskan lagi perlaksanaannya oleh pengganti Elizabeth iaitu James I. Akta tersebut telah digantikan dengan Witchcraft Act 1736 semasa pemerintahan George II. Pada tahun 1951, akta tersebut pula telah dimansuhkan dan diganti dengan Fraudulent Mediums Act 1951.


Undang-undang yang pernah wujud dalam tamadun-tamadun terdahulu membuktikan adanya kesedaran dalam minda pihak pemerintah tentang bahaya dan kesan negatif yang timbul dari amalan sihir. Ianya bukan sahaja boleh menyebabkan penderitaan kepada seseorang mangsa malah boleh meruntuhkan tamadun sesuatu bangsa. Masyarakat yang hidup dalam kerukunan boleh menjadi huru hara dan berpecah belah angkara sihir. Dari sudut pandangan agama pula, semua agama di dunia melarang keras penganutnya dari berkecimpung dan melibatkan diri di dalam amalan ini. Justeru itu, dapat disimpulkan bahawa usaha-usaha untuk memerangi dan membanteras pengamalan sihir bukanlah suatu yang baharu bahkan ia pernah dikuatkuasakan. Cadangan agar diwujudkan akta jenayah sihir untuk menangani jenayah sihir di Malaysia adalah sangat tepat dan perlu diberi perhatian yang sewajarnya. Kajian bagi mengenalpasti kaedah-kaedah pembuktian dan keterangan dalam mahkamah perlu dilakukan oleh pihak berwajib demi memastikan masyarakat dapat hidup dalam keadaan aman damai tanpa sebarang ancaman dari tukang-tukang sihir. Emmet V. Mittlebeeler menyatakan:

“If we accept the theory that the law of crimes developed from direct public action against a malefactor, witchcraft may have been the first of all crimes


http://blogs.iium.edu.my/ka_mokhtar/2009/12/24/amalan-sihir-perlu-dikekang-undang-undang/#comment-1319